BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, December 29, 2009

Penyakit Riak

Kita selalu dengar perkataan riak kan? Riak ini adalah salah satu penyakit hati. Penyakit hati ini, berlaku tanpa kita sedari, kita rasa macam tak ada apa-apa, tapi hakikatnya ia telah merosakkan ibadat kita. Disebabkan riak, amalan kita mungkin tidak diterima Allah. Rasulullah juga risau dan telah berpesan bahawa jauhkan dari sifat ingin menunjuk-nunjuk ketika beramal kerana ianya menyamai syirik.

Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Riak sebenarnya bermaksud melakukan kebaikan dan amal ibadat semata-mata untuk mencari tempat di dalam hati manusia.

Firman Allah dalam surah al-Ma'un ayat 4-6 ada menyebut mengenai riak ini.
Maksudnya: "Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak"

Antara perkara yang diriakkan oleh manusia ialah:

Riak dari segi badan
Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.

Riak pada pakaian
Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan dia itu kuat agama ataupun menunjukkan dia menutup aurat padahal hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini hanya di hadapan orang tertentu untuk kepentingan tertentu. Sedangkan pada waktu lain, mereka ini bukanlah begitu. Selain itu, mereka juga bukan berniat kerana Allah untuk mendapat keredaanNya. Fenomena ini sering melanda masyarakat kita pada hari ini, contohnya dapat dilihat apabila seseorang itu ke kelas memakai tudung, tetapi apabila terjumpa di luar kawasan kolej, tudung entah ke mana.

Riak dengan perkataan
Riak ini berlaku apabila seseorang itu berkata-kata yang menujukkan dia seorang yang ikhlas dan benar. Tuturnya seperti kaunselor. Walhal hakikat hatinya sunyi dan kosong.

Riak pada amalan
Orang sebegini riak dalam amalan solat, sedekah dan amalan lain. Dalam solat, sesorang itu menzahirkan khusyuk dalam solat seperti solat dengan lebih lama dengan memanjangkan rukuk dan sujud. Selain itu, bersedekah secara terang-terangan sampaikan ambil gambar. Sedangkan apabila bersendirian, amalannya tidak la sempurna begitu.

Riak sebenarnya mempunyai banyak peringkat

1. Riak Akbar
Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.

2. Riak Asghar
Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada Allah. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu sudut dan kepada manusia pada satu sudut yang lain.

3. Riak Jali (terang)
Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.

4. Riak Khafi (sembunyi)
Riak ini pula ialah riak yang tesembunyi dan ianya tersembunyi dalam hati. Ia mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.


Apabila suatu amalan dilaksanakan dengan ikhlas kerana Allah, ia akan diterima oleh-Nya. Sebaliknya, apabila amalan diniatkan untuk mendapat perhatian, pujian atau meraih keuntungan duniawi, maka ia tidak diterima Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya amalan itu tergantung pada niatnya, dan sesungguhnya amalan seseorang dibalas sesuai dengan apa yang dia niatkan." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Amal seseorang diterima Allah harus memenuhi dua syarat iaitu niat ikhlas semata-mata demi Allah dan dilakukan sesuai dengan tuntutan syariat (mengikuti sunnah Nabi).

Allah berfirman bermaksud: "Barang siapa berharap akan menemui Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan jangan menyekutukan Allah dengan suatu apa pun." (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Oleh itu, kita perlulah elak penyakit ini daripada terus menular ke peringkat yang lebih kronik. Rawatan terbaik adalah menjauhkan daripada punca terjadinya sifat riak ini.
1. Sifat suka dipuji oleh orang lain.

2. Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain.

3. Sukakan kemewahan dunia semata-mata untuk menarik perhatian orang lain.


Cara-cara untuk menghindari punca-punca riak adalah:

1. Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.

2. Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan tabiat ini akan membawa diri agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak.

3. Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.

4. Menanamkan dalam diri perasaan bahawa melakukan sesuatu itu kerana manusia sehingga membawa kemurkaan Allah itu adalah suatu perkara yang buruk dan patut dijauhkan.

5. Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah.

6. Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan.

Juga ada doa yang diajar oleh Rasulullah apabila menyedari musibah yang dibawa oleh sifat riak ini iaitu:
"Ya, Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada perbuatan syirik yang kami ketahui. Kami memohon ampunan kepada-Mu daripada dosa (syirik) yang kami tidak mengetahuinya." (Hadis riwayat Ahmad)

Terdapat juga orang yang melakukan amal ibadah ikhlas kerana Allah, tetapi mendapat perhatian daripada orang lain atas amalannya, tetapi ini tidak dikira riak.
Namun begitu, apabila melakukan sesuatu amal ibadat, akan timbul perasaan riak, tetapi apabila amalan itu terus dilakukan secara istiqamah, perasaan itu akan hilang apabila kita perbetulkan niat ikhlas beribadat kerana Allah. Seterusnya, perasaan riak itu akan hilang sedikit demi sedikit.

yang penting jangan biarkan perasaan riak itu terus menguasai diri, takut amalan yang dilakukan tidak diterima. Oleh itu, mari kita berlumba untuk mengerjakan amal soleh secara tulus ikhlas kerana Allah dan jika perasaan riak timbul kita perlu segera menepisnya dan jangan dibiarkan terus bermain di jiwa kerana itu bisikan syaitan yang ingin menyesatkan manusia..

Wallahu 'alam..

Sumber rujukan:
http://www.fitrahpower.com/tazkirah-bersiri/hakikat-penyakit-riak
http://al-fikrah.net/News/article/sid=555.html

0 comments: